Monday, December 31, 2012

Hidup ini hanyalah peredaran masa yang selalu melalaikan mata. Hari ini, esok, lusa dan kemudiannya akan datang tanpa diketahui penghujungnya. dan penghujung yang dipanggil kiamat, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui bila dan bagaimana ianya akan berlaku. Masa, dianggap satu medium untuk manusia berlegar-legar menjalani kehidupan. 

Tahun Baru
Esok tahun baru masihi. Perubahan baru kalendar Masihi, sistem yang diperkenal oleh Pope Gregory 13 (1585M). Minggu lepas (21.12.12) adalah hari pertama dalam kalendar kaum Maya yang banyak mencetus kontroversi dunia. Dan hari-hari akan terus berlalu, walau di mana kita berada. Tidak mengira kalendar mana yg digunakan, masa akan terus berlalu. Maka berubahlah kita mengikut masa, dari kecil kepada besar dan seterusnya. Dan bila ditanya apakah yang telah dibuat ketika masa lalu, kita hanya dapat mengenangkannya. Tiada apa yang boleh diubah. 

Dan hari tetap juga berlalu. Datanglah hari baru. Kita juga berubah menjadi sesuatu yang baru. Sesuatu yang kemudianya akan berubah mengikut peredaran masa sehinggalah waktunya, kematian menjelma. Kematian yang ditakuti kebanyakan orang. 

Kata Hasan alBasri "kita ini hanyalah bilangan hari". Apabila sebilangan hari itu pergi, sebilangan daripada kita pergi. Dan apabila cukup bilangan hari itu nanti, kita pun tiada lagi. Kita berbangga dengan hari baru, tahun baru, harilahir baru dan sebagainya, tetapi kita lupa dengan hari itu, telah hilanglah satu hari dari bilah-bilah kehidupan. 

Azam baru 2013
Namun jadikanlah, hari baru, tahun baru untuk kita kembali mengingati apakah pencapaian kita, dimanakah kita serta apakah yang perlu dilakukan untuk kita. Berazamlah untuk melakukan yang terbaik. Supaya apabila hari mendatang azam-azam itu dimanifestasikan sehinggalah sampai ke penghujung kepada segala masa. Dan harapan kita agar masa itu dapat menjadi saksi untuk kita, supaya selamat di akhirat. 


  1. Al-Quran tetap menjadi ikutan dan rujukan pertama. Belajarlah ia, hafallah ia, perbetulkan bacaan, agar menjadi syafaat kelak. Dari Abu Umamah Al-bahili ra, Rasulullah saw bersabda,"Bacalah Al Qur'an. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaát kepada para pembacanya." (HR Muslim) Jangan tinggalkan ia walaupun sehari. Kemaskan hafalan sekurang-kurangnya 5 muka sehari.
  2. Hadis sahih menjadi pedoman. Dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun“ (Ibnu Majah) Hafal dan pelajarinya sekurang-kurangnya sekali seminggu. 
  3. Jagalah lisanmu. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau – kalau tidak dapat berkata yang baik, hendaklah ia berdiam diri saja.” (Muttafaq ‘alaih)
  4. Jagalah solat mu. lakukanlah di awal waktu, dan perbanyaklah solat sunat serta solat malam Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (17:79)
  5. Tulislah segala yang tersemat dikalbu, walaupun ianya bodoh. Kerana untuk menulis, kita akan membaca. dan apabila kita membaca, kita akan menambah ilmu pengetahuan. Namun carilah medium penulisan yang tidak menimbulkan populariti kerana populariti akan menimbulkan fitnah.
  6. Perbanyaklah berdoa kerana dengan doa, ia akan menimbulkan harapan. Harapan yang dipercayai akan membuahkan hasil walaupun tidak pasti bagaimanakah caranya akan berlaku. InsyaAllah.

Monday, July 23, 2012

Objective



Hidup ini. 


Bulan Ramadhan kembali lg. kembali lg dengan seribu pengharapan manusia padanya. Bulan yg mulia kerana al-Quran diturunkan padanya. serta arahan berpuasa didalamnya bg yg mampu, dengan hikmah-agar kamu bertaqwa. Mungkin pelik dan jangkal, bagaimana menahan lapar dan dahaga itu menjadikan kita seorang hamba yg bertaqwa. Namun, sekiranya ianya disertai dengan penghayatan kepada ibadah puasa, seseorang pastinya akan menjadi seorang hamba yg bertaqwa.


Telah lama blog ini menyepi. Telah bertahun tanpa apa-apa. Namun setelah lama menjelajah di alam siber ini, terfikir, blog ini boleh digunakan sebagai salah satu medium utk berfikir, dan mengumpul maklumat dari mana-mana sumber yg ada. Medium utk kita menilai segala maklumat lantas kita terus mencari kebenaran. Dengan tujuan mencari kebenaran. 


Tujuan Hidup 


Dalam Quran disebutkan, tujuan manusia dijadikan. Dan dinukilkan bagaimana Malaikat telah bertanya kpd Allah, mengapa ingin dijadikan satu makhluk yg akan kelaknya akan merosakkan alam ini. 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau  hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (al-baqarah : 30)


Dan Allah mengetahui apa yg mereka tidak mengetahuinya. Dan telah dijadikan kita sebagai seorang khalifah di bumi ini. Khalifah yg ditugaskan menjaga dunia ini, dengan aturan yg telah diberi oleh Allah. Tetapi, tugas ini, di ambil sambil lewa oleh kita yg bergelar khalifah. Aturan dan acuan yg diberikan, tidak kita teliti, malah kita tanpa segan silu mencerobohinya.

Dan Allah juga berfirman 


Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.  (Adh-Dhāriyāt : 56)


Juga sebagai khalifah, untuk kita beribadah, kpd Rab yg satu. Dan menjadi kesalahan utk kita beranggapan hanya solat, puasa itu sebagai ibadah kerana setiap sesuatu yg kita buat, kerana Allah, ianya akan menjadi ibadah. Dan semestinya ianya akan dibalas oleh akhirat kelak.

Dan percayalah juga, Allah tidak rugi apa-apa sekiranya kita meletakkan tugas ini kepada orang lain. Malah kita juga yg akan rugi. Allah telah beri pelbagai kemudahan untuk kita, tapi disia-siakan.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan (Al-isra' :70)

Peluang

Dan sempena Ramadhan yg sedang berlangsung, semoga kita dapat menjadi hambanya yg bertaqwa. Jangan sifat kritis serta puitis ini, tidak selari dengan gerak kerja seharian yg digarapkan. Nauzubillah.

Semoga kita menjadi hambaNya yg bertaqwa.

Monday, August 01, 2011

Salam Ramadhan Kareem...

Bagi pihak MIAB, saya mengucapkan selamat menyambut Ramadhan 1432H. Marilah kita sama-sama menghadapi bulan Ramadhan kali ini dengan memaksimumkan keikhlasan dalam ibadah berpuasa, solat tarawikh, menggandakan menderma baik wang ringgit, tenaga dan idea, qiamullai, tadarus dan sebagainya.

Semoga kita semua dapat menjalani semua amalan baik sama ada sunat mahu pun wajib dengan jayanya...