Monday, December 31, 2012

Hidup ini hanyalah peredaran masa yang selalu melalaikan mata. Hari ini, esok, lusa dan kemudiannya akan datang tanpa diketahui penghujungnya. dan penghujung yang dipanggil kiamat, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui bila dan bagaimana ianya akan berlaku. Masa, dianggap satu medium untuk manusia berlegar-legar menjalani kehidupan. 

Tahun Baru
Esok tahun baru masihi. Perubahan baru kalendar Masihi, sistem yang diperkenal oleh Pope Gregory 13 (1585M). Minggu lepas (21.12.12) adalah hari pertama dalam kalendar kaum Maya yang banyak mencetus kontroversi dunia. Dan hari-hari akan terus berlalu, walau di mana kita berada. Tidak mengira kalendar mana yg digunakan, masa akan terus berlalu. Maka berubahlah kita mengikut masa, dari kecil kepada besar dan seterusnya. Dan bila ditanya apakah yang telah dibuat ketika masa lalu, kita hanya dapat mengenangkannya. Tiada apa yang boleh diubah. 

Dan hari tetap juga berlalu. Datanglah hari baru. Kita juga berubah menjadi sesuatu yang baru. Sesuatu yang kemudianya akan berubah mengikut peredaran masa sehinggalah waktunya, kematian menjelma. Kematian yang ditakuti kebanyakan orang. 

Kata Hasan alBasri "kita ini hanyalah bilangan hari". Apabila sebilangan hari itu pergi, sebilangan daripada kita pergi. Dan apabila cukup bilangan hari itu nanti, kita pun tiada lagi. Kita berbangga dengan hari baru, tahun baru, harilahir baru dan sebagainya, tetapi kita lupa dengan hari itu, telah hilanglah satu hari dari bilah-bilah kehidupan. 

Azam baru 2013
Namun jadikanlah, hari baru, tahun baru untuk kita kembali mengingati apakah pencapaian kita, dimanakah kita serta apakah yang perlu dilakukan untuk kita. Berazamlah untuk melakukan yang terbaik. Supaya apabila hari mendatang azam-azam itu dimanifestasikan sehinggalah sampai ke penghujung kepada segala masa. Dan harapan kita agar masa itu dapat menjadi saksi untuk kita, supaya selamat di akhirat. 


  1. Al-Quran tetap menjadi ikutan dan rujukan pertama. Belajarlah ia, hafallah ia, perbetulkan bacaan, agar menjadi syafaat kelak. Dari Abu Umamah Al-bahili ra, Rasulullah saw bersabda,"Bacalah Al Qur'an. Kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaát kepada para pembacanya." (HR Muslim) Jangan tinggalkan ia walaupun sehari. Kemaskan hafalan sekurang-kurangnya 5 muka sehari.
  2. Hadis sahih menjadi pedoman. Dari ‘Amr bin ‘Auf bin Zaid al-Muzani radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah  shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun“ (Ibnu Majah) Hafal dan pelajarinya sekurang-kurangnya sekali seminggu. 
  3. Jagalah lisanmu. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia berkata yang baik atau – kalau tidak dapat berkata yang baik, hendaklah ia berdiam diri saja.” (Muttafaq ‘alaih)
  4. Jagalah solat mu. lakukanlah di awal waktu, dan perbanyaklah solat sunat serta solat malam Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. (17:79)
  5. Tulislah segala yang tersemat dikalbu, walaupun ianya bodoh. Kerana untuk menulis, kita akan membaca. dan apabila kita membaca, kita akan menambah ilmu pengetahuan. Namun carilah medium penulisan yang tidak menimbulkan populariti kerana populariti akan menimbulkan fitnah.
  6. Perbanyaklah berdoa kerana dengan doa, ia akan menimbulkan harapan. Harapan yang dipercayai akan membuahkan hasil walaupun tidak pasti bagaimanakah caranya akan berlaku. InsyaAllah.